KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberikan pengecualian cukai pendapatan individu sehingga 12 bulan bermula tahun 2019 kepada golongan wanita yang layak dan kembali bekerja.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, ia adalah sebagai langkah untuk menggalakkan kaum hawa itu menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya, program pengecualian itu akan dipantau dan diuruskan oleh Talent Corporations Malaysia Berhad (TalentCorp) menerusi program ‘Career Comeback’.
Kula menyatakan kesedihan kebanyakan kaum wanita di negara ini meninggalkan pekerjaan dan cenderung untuk tidak kembali bekerjaya tidak seperti negara Jepun dan Korea yang mengalami kemuncak berganda wanita kembali bekerja.
“Ramai wanita meninggalkan kerjaya mereka dan tidak berhasrat kembali atas dua sebab utama iaitu tanggungjawab menjaga anak kecil dan juga ibu bapa yang sudah menjangkau usia dan uzur yang memerlukan perjagaan rapi di rumah.
“Wanita merangkumi hampir separuh daripada tenaga kerja serta penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Maka kami berhasrat untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita negara daripada 54.7 peratus pada tahun 2017 kepada 56.5 peratus menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Life At Work 2018 di Nexus Bangsar South di sini.
Malah katanya, Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mampu mencatat unjuran RM6 bilion hingga RM9 bilion sekiranya lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja di masa akan datang.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Menurut Kula, pihaknya bekerjasama dengan kementerian wanita dan Talent Corp untuk merealisasikan janji itu.
Kula turut menegaskan kerajaan kini mengalu-alukan hampir sejuta rakyat Malaysia yang telah meninggalkan negara ini sejak dua tahun lalu untuk pulang dan menyumbang untuk pembangunan tanahair.
Katanya beliau teruja mendapat sambutan dari semua lapisan masyarakat yang kini meminta ahli keluarga mereka yang berada di luar negara supaya pulang ke tanahair atas semangat Malaysia Baharu dan Harapan baharu.
“Kami harap mereka pulang menyumbang kepada negara kita,” katanya.
Hannah yang menyokong kenyataan Kula dalam soal pengecualian cukai untuk golongan wanita berkata, suasana penyediaan tempat dan waktu kerja fleksibel dan menyokong amalan mesra keluarga antara kaedah untuk menggalakkan lebih ramai wanita.
Katanya, bagi tujuan itu kerajaan telah mewajibkan penubuhan 50 buah Pusat penjagaan kanak-kanak di semua agensi kerajaan bermula 1 Januari 2019.
Kata beliau, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan 2019 bagi tujuan itu.
Kita sewenang-wenangnya tidak boleh terus memaksa semua pihak termasuk sektor swasta supaya menubuhkan pusat penjagaan kanak kanak sebagai menjamin suasana kerja yang selesa.
“Kita jadikan sektor agensi kerajaan sebagai pelopor yang akan memulakan inisiatif berkenaan.
“Kita tidak memaksa swasta tetapi menggalakkan mereka supaya menunjukkan ia merupakan inisiatif terbaik yang boleh disediakan untuk kakitangan mereka di tempat bekerja,” tegasnya.-MalaysiaGazette