Zeti
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (dua kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Buku Biografi Permodalan Nasional Berhad (PNB) "In Trust : A History of PNB" turut bersama Bekas Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri), Penulis Buku Biografi Permodalan Nasional Berhad (PNB) "In Trust : A History of PNB", Professor Nicholas J. White dan Presiden PNB merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan terus mengukuhkan dan membina penampan bagi portfolio-portfolio pelaburannya supaya dapat bertahan dalam ketidaktentuan persekitaran ekonomi pada masa kini dan akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, pengurusan risiko merupakan perkara yang sangat penting bagi melindungi perniagaan kerana perubahan persekitaran berlaku dengan pantas dan di luar jangka.

“Salah satu perkara yang penting adalah mengukuhkan kemampanan dan membina penampan supaya dapat bertahan sekiranya berlaku sesuatu.

“Perlu ada pendekatan yang berbeza termasuklah dari segi portfolio supaya apabila satu segmen mengalami kesukaran, sektor lain pula diharapkan lebih baik (supaya boleh mengimbangi kerugian).

“Jadi kita memang perlukan strategi sebegini,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran biografi korporat pertama PNB yang bertajuk “In Trust: A History of PNB” di sini hari ini.

Buku yang ditulis oleh Profesor Sejarah Imperial dan Komanwel di Liverpool John Moores University, Nicholas J. White itu mendokumentasikan sejarah penubuhan PNB sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baharu yang dilaksanakan demi menangani ketidakseimbangan sosial pada tahun 70an.

Menurut Zeti, sukar untuk meramalkan keadaan pada masa hadapan namun apa yang pasti ia akan menjadi lebih sukar, mencabar dan rumit di samping peningkatan kesalinghubungan dan disruptif termasuk dari segi teknologi dan geopolitik.

“Keadaan tidak lagi stabil dan sukar dijangka.

“Anda tidak boleh membuat jangkaan berdasarkan apa yang pernah berlaku sebelum ini kerana masa hadapan adalah sesuatu yang sukar diramal dan perubahannya sangat pantas.

“Disebabkan itu, pengurusan risiko amat penting kerana anda perlu sentiasa berwaspada terhadap perubahan yang berlaku dan sekiranya ianya dapat dilakukan dengan baik, ada kemungkinan kita mendapat kestabilan dan mampu mengharungi cabaran,” katanya.

Menurut Zeti, PNB mempunyai rangka kerja untuk menghadapi masa-masa sukar tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast