Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta semua pihak bertenang dan tidak sekali-kali mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman, hasutan dan kebencian.

Katanya, beliau telah menghubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Saya minta rakyat semua beri ruang kepada polis untuk lakukan siasatan,” katanya dalam hantaran melalui Twitter hari ini.

Beliau mengulas kejadian pergaduhan antara dua kumpulan dalam kawasan Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Height, Subang Jaya awal pagi tadi yang dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berhubung pemindahan kuil berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lebih 10 buah kereta musnah terbakar dan beberapa mangsa mengalami kecederaan.

Sementara itu, Mazlan berkata, insiden rusuhan itu tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Katanya, kejadian itu adalah kes terpencil yang berkaitan dengan isu pemindahan kuil berkenaan dan orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian dengan isu perkauman. – MalaysiaGazette