Abdul Halim Omar
Abdul Halim Omar

KUALA LUMPUR – Pas Selangor dukacita dan sedih dengan kejadian pergaduhan melibatkan dua kumpulan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya awal pagi tadi.

Parti itu bagaimanapun, menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat.

Pada masa sama menurut Setiausaha Pas Negeri, Abdul Halim Omar, pihaknya menyelar sikap biadab Exco Kerajaan Selangor dari DAP, V. Ganabatirau yang cuba menyemarakkan sentimen perkauman melampau dengan melempar tuduhan kumpulan muslim telah menyerang kuil berkenaan.

“Pas Selangor menggesa satu siasatan terperinci dijalankan dengan memangggil mereka yang berkepentingan dalam perebutan tapak kuil itu serta memanggil Exco Kerajaan Selangor berkenaan untuk membantu siasatan dengan membuktikan tuduhan liar, jahat dan merbahaya yang dimuat naikkan dalam akaun facebook beliau.

“Pas sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan pencerobohan rumah ibadat orang bukan Islam dan serangan ke atas penganut agama lain atas semangat perkauman yang sempit.

“Semoga rakyat Malaysia akan terus hidup harmoni dan menolak mereka yang cuba bermain dengan api perkauman yang sempit,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan Ganabatirau membetulkan kenyataannya berhubung terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam rusuhan di kuil berkenaan awal pagi tadi.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu mungkin mempunyai kesilapan daripada segi penggunaan tatabahasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast