NEW YORK – Pemilik kasino Genting Malaysia Bhd. menfailkan saman ke atas Walt Disney dan Twenty-First Century Fox Inc lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) semalam atas tuduhan melanggar kontrak berkaitan pembinaan taman tema dengan jenama Fox.
Genting memberitahu isu ‘penyesalan penjual’ memaksa Fox dengan bantuan Disney melanggar kontrak yang dimeterai pada 2013 bersama Fox Entertainment Group (FEG) untuk memberi lesen kepada Fox World membina pertambahan kepada kompleks Resort World Genting.
Pada masa sama, jurucakap Twentieth Century Fox Film, Dan Berger yang juga antara defendan enggan memberikan sebarang komen.
Saman difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles ketika Disney sedang menyelesaikan pembelian aset Fox bernilai AS$71.3 bilion (RM298 bilion) yang dijangka muktamad menjelang suku tahun pertama 2019.
Genting berkata, masalah bermula apabila Fox merancang penangguhan beberapa tahun untuk memaksa kontrak berkenaan menjalani rundingan semula.
Menurut aduan itu, Disney adalah pihak yang membuat keputusan dan mahu menamatkan kontrak terbabit kerana kerjasama dengan syarikat perjudian tidak memenuhi strategi ‘mesra keluarga’ jenama berkenaan.
Genting berkata, Fox mengeluarkan notis tindakan dengan harapan dapat menamatkan kontrak dan ‘ia konsisten dengan hasrat Disney mahu mematikan perjanjian’ itu demi faedah sendiri.
“FEG tidak berhak untuk menamatkan perjanjian ini dan Fox serta Disney bertanggungjawab atas kerugian berbilion dolar kerana sikap mereka,” kata aduan itu lagi.
Genting sudah membuat pelaburan berjumlah lebih AS$750 juta (RM3.1 bilion) di dalam syarikat Fox World. – MalaysiaGazette