Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) memandang serius kejadian rusuhan yang berkait dengan proses pemindahan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, dekat Subang Jaya awal pagi semalam.

Sayap parti PAN itu menyeru polis menjalankan siasatan menyeluruh dan tangkas bagi mengelak dalang rusuhan melepaskan diri.

Menurut Ketuanya, Mohd Sany Hamzan, setiap pihak yang terlibat dalam rusuhan itu harus dipertanggungjawabkan dan diadili dengan adil.

Begitu juga katanya, dengan pihak secara tidak langsung mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang mengganggu keharmonian kaum di Malaysia.

Kata beliau, iklim politik hari ini yang agak panas dengan permainan sentimen perkauman sangat meresahkan.

“Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seharusnya diamalkan dengan rasa tanggungjawab, bukan demi mencapai matlamat politik murahan.

“Fitnah dan berita palsu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum seharusnya dijauhi dan tidak disebar viralkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sany, Pemuda PAN turut mengecam semua pihak yang ghairah membangkitkan isu perkauman demi memburukkan kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Ujar beliau, permainan politik persepsi bagi menggambarkan kerajaan hari ini sebagai anti-Melayu dan anti-Islam perlu dihentikan oleh semua pihak dan tuduhan melulu yang dibuat tanpa usul periksa harus dicegah.

“Kita menyeru semua pihak menjauhi politik perkauman yang sekadar mengganggu proses bina semula negara yang parah dirompak para kleptokrat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast