Hasan Ariffin
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merupakan Ahli Parlimen Rompin, Hasan Ariffin bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin mendakwa dirinya tidak mengetahui terdapat pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Rompin itu mendakwa ketika bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan itu kepada PAC, badan tersebut mengganggap bahawa laporan yang dibentangkan adalah laporan lengkap tanpa diberitahu mengenai pindaan berkenaan.

Laporan itu dibentangkan kepada PAC pada 2016.

“Saya tidak tahu menahu. Apa yang Tan Sei Ambrin cakap (nafi ubah laporan), itulah. Apa yang Tan Sri Ambrin bawa ke PAC, itulah laporannya.

“Kita tak tahu (ada pindaan atau tidak). Kita anggap apa yang dibentangkan itulah laporannya,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Hasan diminta mengulas mengenai pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB kerana ia dianggap kerajaan ketika itu sebagai satu krisis.

Madinah berkata, terdapat beberapa pindaan dalam laporan itu antaranya perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, pada mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada laporan akhir berkenaan.

Kenyataan itu sama sebagaiama yang dibuat Hasan pada Oktober lalu yang mana beliau turut menafikan tahu mengenai pindaan laporan Jabatan Audit Negara berkaitan 1MDB yang dibangkitkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Wong Kah Woh.

Jelas Hassan, pindaan itu berlaku bukan semasa beliau menjadi Pengerusi jawatankuasa itu.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ambrin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. – MalaysiaGazette