KUALA LUMPUR- Kerajaan sedang meneroka mekanisme baharu dalam usaha membolehkan teknologi dan inovasi meneruskan agenda nasional.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebagai permulaan pelaksanaan instrumen property crowd funding (penjanaan dana awam hartanah) dilihat sebagai sumber pembiayaan alternatif untuk pembeli rumah kali pertama yang merupakan yang pertama di dunia.
Jelas beliau, pihaknya sedar masyarakat sedang menunggu untuk melihat sama model itu berjaya atau sebaliknya.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini kerajaan juga berada di landasan yang betul untuk menguatkuasa peraturan yang akan diperkenalkan pada awal tahun depan.
“Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengemaskini peraturan-peraturan untuk aset digital atau pertukaran mata wang dan tawaran permulaan syiling permulaan (ICO) yang akan berkuatkuasa pada suku pertama 2019.
“Ia adalah sebagai sebahagian usaha SC untuk memudahkan alternatif pengumpulan dana dan kelas aset pelaburan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Fintech 2018 di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun sesetengah pihak mungkin masih ragu-ragu terhadap usaha ini, kerajaan memerlukan peraturan yang sesuai untuk dilaksanakan dan dikuatkuasakan bagi menjaga kepentingan pelabur.
“Saya ingin mengulangi apa yang saya katakan di parlimen bahawa pihak yang berminat perlu mematuhi rangka kerja yang ditetapkan oleh Bank Negara dan SC.
“Kedua badan ini sedang menyiapkan kerangka kerja dan bagi mereka yang berminat boleh berhubung terus bagi memastikan berada dalam pematuhan penuh.
“Walaupun menggalakan pelaburan, kerajaan mahu pelabur mematuhi undang-undang untuk memastikan mereka tahu apa yang mereka ceburi,” katanya. – MalaysiaGazette