KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melakukan kajian seandainya ada keperluan untuk menggubal sebuah ‘Akta Pembaziran Makanan’ terhadap pelanggan yang melakukan kesalahan tersebut pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk mengenakan ‘denda’ ke atas pelanggan di hotel serta restoran yang membazirkan makanan mereka.
“Kita sedang lakukan kajian dengan teliti keperluan menggubal akta ini dari pelbagai sudut sebelum proses pelaksanaan.
“Antara yang kita boleh lakukan termasuk hukuman denda kepada mereka yang bazirkan makanan yang dibeli oleh mereka di hotel serta restoran dengan berlebihan kemudian bazirkan begitu sahaja.
“Ini adalah antara inisiatif kita, sekiranya pembaziran dapat dikurangkan ini pasti secara langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini hari ini.
Jelas Wan Azizah, antara langkah lain berhubung isu pembaziran termasuk ‘Program Food Bank’ yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Lebihan makanan ruji harian yang diperolehi daripada pasar raya besar seperti roti, sayur-sayuran serta buah-buahan akan diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Ini adalah program yang dijangka dilaksanakan di seluruh negara pada awal tahun hadapan. Jika kita dapat tangani pembaziran, secara tidak langsung dapat juga tangani isu kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Isu pembaziran makanan dalam negara terus menjadi perdebatan pelbagai pihak tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan pembaziran bahan utama yang menyumbang tenaga kepada semua manusia dalam dunia.
Malah pada masa sama akan memberi implikasi negatif terhadap tamadun peradaban manusia berhubung isu pembaziran yang dianggap kornik.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut melahirkan harapan tinggi semua golongan petani, pemternak dan nelayan selain daripada usahawan tani akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam menjayakan agenda reformasi sektor pertanian pada masa depan. –MalaysiaGazette