Datuk Azih Muda.
Datuk Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan (ANULAE) akan menyediakan satu kerangka, ke arah menjadikan penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lebih lestari.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pelestarian itu bukan sahaja dari segi perkhidmatan, malah turut lestari dalam konteks memenuhi kehendak orang ramai yang semakin pelik dan rumit.

Serentak itu, kata beliau, kesatuan berkenaan dalam kerangka hendak menzahirkan semangat yang ada di kalangan PBT di seluruh negara agar mereka salin bekerjasama menangani isu yang semakin kompleks ini.

Katanya, bukan senang untuk penguatkuasa PBT hendak memenuhi dan memuaskan hati orang ramai terutama warga bandaraya yang mahukan kehidupan lebih baik dan terjamin.

“Kita tahu penguatkuasa berdepan dengan situasi yang sangat kompleks ketika berdepan dengan pelanggan mereka.

“Pelanggan ini pula kalau boleh mereka nak parking depan tangga pusat beli belah, nak parking dalam kedai. Mereka sangat ini sensitif sehinggakan kalau penguatkuasa saman, mereka marah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Pihak berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia 2018 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Menurut Azih, selain menjadikan anggota penguatkuasa PBT lestari, pihak kesatuan juga perlunya pakaian seragam mereka diseragamkan secara drastik di seluruh negara.

Dengan pakaian seragam itu, kata beliau, orang ramai akan mengenali mereka sebagai anggota penguatkuasa walau di mana sahaja berada.

“ANULAE mengucapkan terima kasih kepada KPKT kerana akan memberi prioriti untuk melihat keseragaman anggota penguatkuasa PBT seluruh negara.

“Saya berharap melalui penyeragaman ini tidak akan ada dwi standard, atau rakyat keliru penguatkuasa itu dari PBT mana,” katanya. – MalaysiaGazette