Kim Jong-un dan Donald Trump semasa pertemuan mereka kali pertama di Singapura pada Jun 2018. foto Reuters

SEOUL – Donald Trump mahu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengetahui bahawa Presiden Amerika Syarikat itu menyukainya dan akan memenuhi kehendak beliau.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, sehari selepas bertemu dengan Trump pada Sidang Kemuncak G20 di Argentina.

Moon berharap dapat menjadi tuan rumah kepada Jong-un tidak lama lagi dalam lawatan pertama pemimpin Pyongyangitu  ke Seoul seperti yang dipersetujui awal tahun ini.

“Mesejnya adalah bahawa Presiden Trump mempunyai pandangan yang sangat baik terhadap Jong-un dan beliau menyukainya,” kata Moon kepada wartawan yang menaiki penerbangan dari Argentina ke New Zealand, yang mana beliau akan memulakan lawatan negara tiga hari.

“Oleh itu, Trump meminta saya memberitahu Jong-un bahawa beliau mahu melaksanakan kesemua perjanjian mereka bersama-sama dan beliau akan memenuhi kehendaknya.”

Trump, yang bertemu dengan Jong-un di Singapura pada bulan Jun lalu berkata, beliau mungkin bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu buat kali kedua pada Januari atau Februari, dengan tiga lokasi pertemuan mereka sedang dipertimbangkan.

“Kami boleh bersama dengan sangat mesra. Kami mempunyai hubungan yang baik,” kata Trump kepada wartawan selepas kembali dari Sidang Kemuncak G20.

Malah, Trump memberitahu, beliau akan menjemput Jong-un ke Amerika Syarikat.

White House dalam satu kenyataan pada hari Sabtu selepas pertemuan Trump dengan Presiden China Xi Jinping berrkata, kedua-dua Presiden dan Jong-un berusaha “untuk melihat Semenanjung Korea bebas nuklear”.

Kenyataan itu menambah, Xi dan Trump “bersetuju bahawa kemajuan besar telah dibuat berkenaan dengan Korea Utara”.

Trump sering menggambarkan hubungan peribadi yang baik dengan Jong-un bagi membantu beliau memperbaiki diplomatik dengan Korea Utara yang dingin sejak tahun 1950-an. – MalaysiaGazette