LONDON – Paul Pogba tampil mempertahankan dirinya selepas dikritik sebagai virus yang menjangkiti rakan-rakan dalam Manchester United oleh Jose Mourinho.
Daily Mail melaporkan, pemain tengah itu menjawab semula kritikan dengan menyalahkan tindakan pengurus kelahiran Portugal itu.
Menurut pemain antarabangsa Perancis itu, corak permainannya merosot dan tidak menjadi disebabkan perancangan silap oleh Mourinho.
“Taktik yang digunakan Mourinho menyebabkan dia tidak dapat bekerjasama dengan pemain-pemain lain dalam pasukan itu,” katanya memetik laporan Daily Mail.
Mourinho mengkritik Pogba selepas pasukan itu sekadar meraih keputusan seri 2-2 sewaktu bertemu Southampton hujung minggu lalu.
Pengendali United secara terbuka berkata, prestasi hambar Pogba memberi kesan kepada pasukan itu sehingga membawa kegagalan buat mereka.
Akibat berang, Mourinho dikatakan memalukan bintang muda itu dengan menggelarkannya sebagai virus di hadapan rakan sepasukannya.
“Mourinho kata Pogba seperti virus selsema dalam bilik yang menjangkiti orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette