Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sebagai warganegara juga akan diberikan peluang untuk menikmati perkhidmatan imunisasi di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, golongan ini dikenakan bayaran perkhidmatan imunisasi berdasarkan Pelaksanaan Caj Fi Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.

Jelas beliau, caj bayaran yang dikenakan kepada kanak-kanak yang tiada dokumen adalah sebanyak RM40 untuk pendaftaran, perundingan dan ubatan (untuk 5 hari) dan tambahan RM40 untuk imunisasi.

“Perkhidmatan vaksinasi ini disediakan di semua fasiliti kesihatan KKM kecuali di Klinik Komuniti seluruh negara.

“Sudah tentu ada caj yang dikenakan tetapi walaupun tidak mempunyai pengenalan diri atas apa jua sebab, perkhidmatan vaksinasi untuk pertumbuhan sempurna kanak-kanak akan diberikan fokus dan keutamaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Dr Dzulkefly menjawab Ahli Parlimen Kalabakan (Warisan), Ma’mun Sulaiman yang mahu penjelasan menyatakan apakah prosedur untuk memastikan kanak-kanak lahir di Malaysia yang tidak memiliki dokumen lengkap seperti surat lahir boleh diberikan vaksin.

Tambah Dr Dzulkeyfly, caj fi perkhidmatan tidak terpakai sekiranya, anggota kesihatan menjalankan aktiviti outreach’di lokasi tahanan imigresen atau aktiviti mengawal wabak penyakit.

“Dalam memastikan semua kanak-kanak diberi vaksinasi, aktiviti outreach dijalankan oleh pihak KKM secara meluas terutamanya dalam kawalan wabak. Di antara aktiviti kawalan ini termasuk pencarian kes yang bergejala serta pencarian kanak-kanak yang cicir imunisasi.

“Dibawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit juga, dalam keadaan di mana berlakunya wabak penyakit yang boleh dicegah dengan imunisasi ianya akan diberikan kepada semua secara percuma,” ujarnya. –MalaysiaGazette