Kenderaan yang dipercayai membawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepas memberikan keterangan berhubung skandal 1MDB keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pukul 2.22 minit petang tadi.

Beliau dipercayai menaiki kenderaan jenis Mercedes Benz warna hitam dengan nombor pendaftaran WQP3030 diiringi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) warna kelabu dengan bernombor pendaftaran WC1044W.

Kedua-dua kenderaan itu meredah hujan lebat menggagalkan usaha media untuk merakam gambar dengan jelas.

Najib diambil keterangan selama 3 jam 20 minit oleh pegawai penguatkuasa undang-undang berhubung siasatan pindaan laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib tiba di bangunan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tanpa disedari sekumpulan media yang membuat liputan kes yang sedang disiasat oleh SPRM itu.

Sebelum ini Najib yang juga ahli Parlimen Pekan telah beberapa kali dipanggil ke ibu pejabat penguatkuasa undang-undang itu berhubung siasatan kes-kes tertentu yang dikaitkan dengan beliau ketika menjadi ketua kerajaan.

Antara kes tersebut iaitu SRC International Sdn. Bhd., panel tenaga solar sekolah di Sarawak dan 1MDB.

Semalam, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dipercayai hadir ke SPRM berhubung siasatan perkara sama dan merupakan individu pertama yang disiasat bagi kes itu.

Turut memberikan keterangan terhadap perkara berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Siasatan dilakukan SPRM susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 25 November lepas bahawa laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahu mengenai perkara itu.

Madinah mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, badan itu akan memanggil Dzulkifli berhubung siasatan dakwaan berkenaan.

Turut akan dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Kiandee tidak menolak kemungkinan PAC memanggil Najib yang sebelum ini didakwa mengarahkan pengguguran beberapa perenggan dalam laporan audit 1MDB itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast