Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Tragedi pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dekat Subang Jaya pada 26 November lalu bukan sesuatu yang di luar dugaan, bahkan bagi mereka yang memerhati pola perkauman di negara ini mutakhir ini, tragedi itu tidak terlalu memeranjatkan.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai sebuah pertubuhan orang Melayu sendiri telah puluhan kali menyuarakan rasa kebimbangan akan rapuhnya perhubungan kaum di negara ini.

Malah diperhatikan, api perkauman itu kian disemarakkan sejak 15 tahun lalu, termasuk rakyat sengaja mencabar undang-undang demi menghalalkan sesuatu tindakan untuk mencapai matlamat.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh ketika memberi pandangannya berkata, budaya hasut menghasut, cabar mencabar dan provokasi kaum dan agama terhadap kaum Melayu semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

Katanya, penggunaan gangster juga kian menjadi-jadi dalam beberapa kes sebelumnya seperti serangan ke atas pegawai penguatkuasaan dan kenyataan sensitif kepada orang Melayu tanpa ada tindakan tegas dari pihak berkuasa.

Lantas, ujar beliau, rakyat hampir hilang keyakinan dengan pihak berkuasa, sedangkan R.O. Winstead sendiri mengakui dan mengiktiraf orang Melayu adalah bangsa yang berbudi bahasa, bersopan santun dan baik.

“Pemimpin Cina, Tun Tan Siew Sin juga pada 30 April 1959 menyebut orang Melayu sangat baik kerana menerima kedatangan kita (orang Cina) di sini (di Malaysia).

“Pemimpin India, Tun VT Sambanthan juga pada  1 Jun 1965 menyebut, kita (orang India) mendapat layanan yang baik (dari orang Melayu) sebagai pendatang sehingga diberi taraf kerakyatan.

“Jadi, apa yang menyebabkan berlakunya pergaduhan kaum seperti Peristiwa 13 Mei dan Kuil Maha Mariamman Seafield adalah kerana provokasi melampau puak bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiGazette di sini.

Menurut Sirajuddin, bagi menangani pergaduhan seumpama itu berulang lagi, pelaksanaan undang-undang yang tegas dan adil seperti Akta Hasutan 1948 dan ISA amat diperlukan.

“Pertahankan dan laksanakanlah undang undang ini demi menjaga keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Janganlah ada kenyataan serta tindak tanduk yang mengancam Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu dilihat seolah tiada tindakan tegas pihak berkuasa,” katanya.

Namun, kata beliau, tindakan undang-undang sahaja tidak mencukupi jika benih manusia generasi baharu yang memasuki  sistem kenegaraan disekolahkan dengan sistem pendidikan perkauman.

“Oleh itu, kerajaan hendaklah bertindak dan bertegas mewujudkan satu sistem pendidikan yang disokong oleh semua kaum iaitu sekolah satu aliran, dan pada masa sama kerajaan perlu menolak sekolah vernakular Cina dan India.

“Jangan ada sistem pendidikan yang pelbagai dalam satu negara. Perkasa percaya melalui sistem pendidikan satu aliran ini, konflik antara kaum pasti tidak akan berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast