Tiga anggota Rela iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR Anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) Melvin Cheong Mun Khai menafikan menerima imbuhan daripada pihak tertentu berikutan tindakannya menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang menyerang beliau dan dua lagi rakannya.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, Cheong, 22, berkata, spekulasi mengenai imbuhan itu telah memberi tekanan kepadanya serta membuatkan masyarakat memandang serong dan mengecam beliau.

“Saya tidak menerima sebarang habuan kewangan mahupun dalam bentuk harta benda kerana menarik laporan polis itu pada 18 Ogos 2018,” katanya.

Cheong berkata, beliau menarik balik laporan polis itu dengan sukarela disebabkan komitmen kerja di waktu malam sehingga pagi yang menyukarkannya untuk hadir memberi keterangan di mahkamah serta memantau perkembangan kes.

Pada pertengahan prosiding kes berkenaan, beliau dan dua lagi rakannya bersetuju agar lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ itu membayar kompaun di mahkamah bagi menyelesaikan pertuduhan-pertuduhan kesalahan mencederakan mereka, tetapi pihak atasan Rela memaksa mereka menolak tawaran itu.

“Saya tidak ingin menjadi boneka yang mengikut telunjuk pihak-pihak tertentu dalam kes ini, saya berpendapat bahawa pihak-pihak tertentu tidak perlu campur tangan dalam biarkan kami membuat keputusan,” katanya.

Pada 19 September lepas, Jabatan Rela membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat tindakan Cheong menarik balik laporan polis terhadap seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’.

Pengarah Bahagian Operasi Rela, Mohamad Razib Buhaini berkata, langkah itu diambil bagi menyiasat sama ada terdapat unsur pelanggaran integriti atau rasuah melibatkan anggota itu.

Bagaimanapun, Cheong berkata, sehingga hari ini SPRM belum memanggilnya untuk memberi keterangan.

Pada 7 Sept lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk Seri’ daripada dua tuduhan iaitu mencedera dan menyerang seorang anggota RELA yang sedang menjalankan tugas, tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa seorang daripada tiga mangsa dalam kes itu telah menarik balik laporan polis terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette