Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan Malaysia khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga yang miskin.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai mendakwa, apa yang dilakukan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ini adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi-polisi untuk memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda miskin secara terbuka dan menggunakan kuasa yang mereka ada.

“Wan Saiful, Pengerusi PTPTN bergaji besar dan Maszlee Malik, Menteri yang sedang menikmati gaji besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil di samping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.

“Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 menunjukkan graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2,700 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4,500 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6,500 sebulan.

Data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016) pula mendapati sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.

Muhammad Faizzuddin berkata, ini menunjukkan majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti yang dicadangkan oleh BNM.

Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN.

Sehubungan itu, GAMIS menggesa TPTN segera menarik atau meminda polisi skim PGB ini atau kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast