Jentera parti politik perlu menghormati peraturan pilihan raya dan menjaga adab dan tatasusila ketika menjalankan aktiviti berkempen secara bersih dan profesional.
Jentera parti politik perlu menghormati peraturan pilihan raya dan menjaga adab dan tatasusila ketika menjalankan aktiviti berkempen secara bersih dan profesional.

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang telah bergelumang dalam dunia politik selama lebih 50 tahun sebenarnya jauh lebih layak untuk memegang jawatan Menteri dalam kerajaan ketika ini.

Malah Kit Siang disifatkan antara pejuang dalam parti DAP yang telah banyak berkorban sehingga dihumbankan ke penjara beberapa kali selain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) selama dua kali.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, segala sumbangan yang telah disumbangkan oleh Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebenarnya kini dapat dinikmati bukan sahaja parti DAP sebaliknya keseluruhan rakyat Malaysia.

“Apabila beliau diberikan jawatan menteri selepas kemenangan besar kita, Kit Siang dengan serta merta menolak dan mahu peluang itu diberikan kepada golongan muda untuk menerajui negara.

“Itu adalah satu pengorbanan, kerana suka duka yang telah dilalui oleh Kit Siang bukan sedikit sebaliknya terlalu banyak sehingga tidak ada kata-kata untuk menggambarkan jasanya.

“Keluar masuk penjara itu adalah perkara biasa, beliau juga pernah ditahan dalam ISA dua kali, sekali anaknya iaitu saya sendiri juga pernah masuk. Bagaimana pula dengan segala macam pendakwaan terhadapnya? Penganiyaan? Tuduhan dan banyak lagi.

“Selama lebih 50 tahun beliau hanya mendedikasikan hidupnya untuk memastikan kita dikecapi dengan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat negara ini, parti kita juga sudah mencapai kejayaan luar biasa.

“Saya amat pasti semua yang ada dalam dewan akan bersetuju dengan saya, Kit Siang adalah pemimpin paling layak diberikan kuasa menteri. Dan beliau bukan sahaja bertindak menolak sebaliknya mahu memberi peluang kepada generasi muda.

“Inilah sumbangan dan pengorbanan oleh Kit Siang untuk kita semua, seorang pemimpin yang tidak mempunyai keinginan untuk memiliki kuasa untuk kepentingan peribadi sebaliknya untuk kebaikan kita semua, untuk itu penghormatan serta penghargaan akan terpahat dalam sanubari kita,” katanya di ikuti tepukan gemuruh.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan Konvensyen Biasa Negeri DAP Negeri Selangor 2018 di Dewan Perbandaran Petaling Jaya di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan juga mahu setiap ahli dari peringkat kepimpinan tertinggi sehingga akar umbi untuk sentiasa mencontohi pemimpin seperti Kit Siang dan juga ahli veteran yang telah berjasa tidak berbelah bahagi.

“Inilah sebenarnya ‘rupa’ seorang pemimpin, berjuang demi kepentingan rakyat, perjuangan demi keadilan serta ketelusan dan bukan untuk diri sendiri, ini adalah perjuangan sebenar yang perlu kita semua contohi sehingga bila-bila.

“Ini juga adalah pesanan kepada kita semua agar tidak begitu teruja dengan kemenangan yang kita kecapi ketika ini, mandat ini boleh berubah seandainya kita berubah nada dan arus. Ingat sentiasa kepada perjuangan sebenar kita, pegang prinsip demokrasi kita dengan penuh ‘kewarasan’,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast