Adel Al-Jubeir. foto Agensi

RIYADH – Arab Saudi tidak akan menyerahkan suspek-suspek yang terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi kepada Turki.

Menteri Luarnya, Adel al-Jubeir berkata: “Kami tidak ekstradisi warga negara sendiri”.

Beliau menjawab permohonan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mahu Arab Saudi ekstradisi suspek-suspek yang terlibat dalam pembunuhan wartawan tersebut dan Ankara telah mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka.

Arab Saudi telah mendakwa 11 orang terlibat dalam pembunuhan yang berlaku di bangunan Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu,

Waran tangkap itu dikeluarkan untuk bekas Ketua Perisikan Arab Saudi, Ahmad al-Assiri dan bekas Penasihat Diraja, Saud al-Qahtani.

Menteri Luar Riyadh itu turut mengkritik cara Turki berkongsi maklumat dengan negara itu.

Adel berkata, beliau telah meminta Turki menyediakan bukti yang boleh digunakan di mahkamah tetapi masih belum menerima dengan cara yang sepatutnya.

Erdogan sebelum mendakwa arahan pembunuhan Khashoggi dibuat atas arahan peringkat tertinggi Kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, Arab Saudi berulang kali menafikan pembunuhan itu membabitkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Pendakwa raya Arab Saudi berkata, pembunuhan Khashoggi dilakukan dalam bangunan Konsulat dalam satu operasi kejam dengan arahan pegawai-pegawai perisik.

Wartawan itu telah diberi suntikan bertujuan untuk melumpuhkannya selepas berlaku pergelutan.

Mayatnya kemudian dikerat di dalam bangunan Konsulat sebelum diserahkan kepada individu warga tempatan untuk dihapuskan.

Khashoggi berada dalam bangunan itu bagi mengambil semula dokumen untuk urusan perkahwinannya. – MalaysiaGazette