SEOUL – Korea Utara didakwa membedil ‘objek’ yang tidak dikenal pasti dari kawasan pantai timurnya hari ini, menurut tentera Korea Selatan.

Pelancaran itu berlaku lapan hari selepas Korea Utara melepaskan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun, yang disifatkan Pyongyang sebagai latihan tembakan kuasa bersama.

Ia juga berlaku selepas Pyongyang minggu ini menolak resolusi badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Korea Utara menghentikan aktiviti nuklearnya.

“Korea Utara telah melancarkan objek tidak dikenal pasti ke Laut Timur,” kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Pejabat Perdana Menteri Jepun turut mengesahkan pelancaran itu dan mengesyaki objek berkenaan sebagai “peluru berpandu balistik”.

Kementerian Pertahanan Jepun kemudian memaklumkan objek itu “sudah jatuh”, tanpa memberikan butiran lanjut.

Korea Utara menuduh “kuasa bermusuhan” cuba menamatkan program nuklearnya ketika Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) minggu ini.

Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata, resolusi IAEA itu “tidak memberi kesan terhadap kedudukan Korea Utara sebagai negara bersenjata nuklear.

Korea Utara telah mengiktiraf statusnya sebagai negara bersenjata nuklear dalam undang-undang, manakala kepimpinannya mengisytiharkan senjata nuklear negara itu sebagai kekal dan tidak boleh dipulihkan.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ogos lalu mendakwa Korea Utara memiliki 57 senjata nuklear yang “sangat berkuasa”, manakala Korea Selatan menganggarkan jumlahnya antara 80 hingga 120. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here