Akmal Nasir
Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sepatutnya mendesak semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan perjuangan Pakatan Harapan untuk memastikan sistem pentadbiran yang telus dapat dilaksanakan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika membuat gesaan itu berkata, arahan mengisytiharkan harta perlu dipandang serius oleh semua ahli Parlimen walaupun tidak ada ketetapan rasmi mengenainya dikeluarkan.

“Saya harap masing-masing ambil serius termasuk juga pegawai JKKMAR yang buat sistem ini untuk mendesak dalam apa juga keadaan (walaupun) kita masih belum ada undang-undang kerana tempoh itu pemakluman yang diberitahu secara terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Akmal semua ahli Parlimen sepatutnya tidak mempunyai alasan untuk membuat pengisytiharan harta sekalipun menganggap aset yang dimiliki tidak bernilai, namun sekurang-kurangya tindakan tersebut bukti terhadap sikap keterbukaan.

“Kita juga ambil maklum ada beberapa pimpinan yang mengatakan tidak ada harta dan sebagainya, yang ini sebenanrya mungkin walaupun kita rasa tidak ada nilai harta tersebut tapi sikap keterbukaan itu yang lebih jelas dan perlu ,” tambahnya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan hari ini.

JKKMAR pada 7 Ogos bersetuju supaya pengisytiharan harta membabitkan anggota Kabinet, pegawai pentadbiran dan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas mengangkat sumpah.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara tujuh ahli Parlimen parti itu yang masih belum bertindak sedemikian.

Bagi Parti Warisan Sabah, selain Mohd Shafie, ialah Datuk Rozman Isli (Labuan), dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).

Daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula ialah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang belum berbuat seperti itu mendakwa tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytiharkan.

Semalam Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua ahli Parlimen Pakatan Harapan segera membuat pengisytiharan walaupun tidak memiliki aset. – MalaysiaGazette