Gary Cahill. Foto Daily Star.

LONDON – Maurizio Sarri menyindir Gary Cahill untuk bebas meninggalkan Chelsea jika dia mahu beraksi lebih kerap di atas padang.

Sarri mengulas mengenai spekulasi yang mengaitkan Cahill akan berhijrah sambil menegaskan pemain pertahanan itu tidak akan mendapat tempat dalam skuad utamanya.

“Saya menghormatinya kerana dia memiliki segalanya bersama kelab ini namun saya mempunyai tugas saya kerana setiap perlawanan saya perlu membuat pilihan.

“Ia bukan keputusan saya seorang tetapi bergantung kepada dirinya dan juga kelab. Apapun dia kini berada di tahun akhir kontraknya dan boleh membuat keputusan untuk kontrak baharu di sini atau bersama kelab lain,” katanya kepada Metro.co.uk.

Cahill hanya beraksi selama 21 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Malah dia juga tidak dinamakan sebagai pemain simpanan dalam lima perlawanan liga sebelum ini.

Cahill, 32, dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan berhasrat untuk meninggalkan Stamford Bridge pada Januari depan.

Cahill hanya terlepas satu perlawanan dalam kempen Liga Europa dengan menggalas tanggungjawab sebagai kapten Chelsea dalam setiap perlawanan itu.