KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu berlapang dada dan menerima tindakan para pemimpin di Sabah yang bertindak keluar dari parti itu secara beramai-ramai.
Katanya, semua pihak harus terbuka, rasional dan tidak melenting serta beremosi dengan keputusan yang dibuat oleh para pemimpin terbabit.
“Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan wajar dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara sukarela.
“Saya menyarankan semua pendukung UMNO terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama. Silaturahim dan perjuangan antara pemimpin Melayu Semenanjung dan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak mesti diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yakin pari itu boleh bangkit semula dan kembali menguasai semula kawasan Parlimen Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya yakin, apabila tiba PRU15 akan datang, sekiranya UMNO di Semenanjung dapat menguasai semula Parlimen Melayu, UMNO boleh bergabung dengan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Dengan strategi kerjasama antara parti Melayu Semenanjung dan parti Bumiputra Sabah dan Sarawak ini sahajalah DAP dan pakatan mereka boleh ditewaskan.
“Malah, saya juga yakin, dengan strategi ini juga pemimpin Bumiputra Sabah & Sarawak tidak akan terkesan lagi dengan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO di Semenanjung,” ujarnya.
Mohamad menegaskan kerjasama UMNO dan Pas atas landasan Islam dan Melayu tidak akan menyebabkan kita berpecah dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“Saya akui ada kebenarannya bahawa UMNO mesti mengelakkan parti ini daripada menjadi semakin kecil dan lemah. Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baharu dan kehilangan rakan sedia ada.
“Yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali UMNO akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini,” katanya lagi.
Beliau mengulas mengenai 13 wakil rakyat negeri itu dan 21 Ketua Bahagian meninggalkan parti dan mengisytiharkan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Antara yang keluar UMNO adalah, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa; Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri.
Malah, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah turut bertindak keluar parti.
Mereka adalah ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh(Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas). – MalaysiaGazette