Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap semasa temubual khas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Datuk Seri Rina Mohd. Harun tidak berasa tergugat dengan kehadiran bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, jika berasa tergugat sekali pun, perasaan itu timbul dengan dengan penyertaan bekas veteran Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu menjelaskan beliau mengalu-alukan kemasukan bekas menteri Kabinet itu yang disifatkan sebagai ikon politik negara.

“Tak sekali (tergugat dengan Mas Ermieyati). Kalau rasa tergugat, saya tergugat dengan Rafidah. Saya amat mengalu-alukan kemasukan beliau yang bersuara lantang dan memiliki prinsip yang banyak memperjuangkan tentang isu wanita.

“Rafidah adalah ikon politik bukan sahaja untuk negara tetapi untuk golongan wanita. Kalau hendak rasa tergugat, saya tergugat dengan beliau tapi saya mengalu-alukan kehadiran Rafidah dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama MalaysiaGazette di kementeriannya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengumumkan menyertai Bersatu semalam apabila menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.

ARIKEL BERKAITANMas Ermieyati umum sertai Bersatu

Ditanya kemasukan bekas pemimpin UMNO yang mampu mencabarkan jawatannya dalam Bersatu pada masa akan datang, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyerahkan kepada ahli-ahli Srikandi untuk membuat keputusan.

“Itu kita tidak dapat nafikan dan kalau kita lihat kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah kerana pilihan rakyat.

“Jadi dalam parti, ahli pula yang akan menilai dan terpulanglah kepada mereka. Apa yang penting saya perlu fokus urusan di kementerian, parlimen serta Srikandi kerana kami akan mengadakan mesyuarat yang pertama pada hujung bulan ini,” katanya. – MalaysiaGazette