Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan sebak ketika berselawat pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa sedih terhadap situasi terkini parti itu.

Najib berkata beliau terkilan melihat rakan-rakan seperjuangannya mula patah semangat dan bertindak meninggalkan parti itu.

“Ada di kalangan mereka ini dahulu saya dan akar umbi UMNO bantu begitu banyak terutamanya dari segi karier politik mereka.

“Kerana kita percaya dan yakin walau apa pun berlaku mereka akan terus menjadi nakhoda kapal dan memimpin akar umbi UMNO,” katanya tanpa menyebut nama-nama individu berkenaan.

UMNO, katanya, kini mengalami proses pemutihan semula jadi apabila sifat sebenar pemimpin UMNO yang mula pudar semangatnya kian terserlah.

“Adakah apa yang dikatakan benar bahawa yang dikejar hanya jawatan dan peruntukan?

Jika begitu, UMNO kini melalui proses pemutihan semula jadi dan Insya-Allah akan bangkit lebih kuat semula. Kita tidak ada apa-apa lagi di UMNO hari ini. Yang ada hanya kain di tubuh dan hati membara.

“Kita berbekalkan semangat perjuangan, persaudaraan dan yang paling penting – keikhlasan untuk rakyat dan kesayangan mereka terhadap kita,” kata Najib lagi.

Dalam pada itu, Najib menyeru agar semua ahli bertenang bertenang dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan halatuju politik sendiri.

“Sama-sama kita kukuhkan UMNO yang telah memayungi kita selama ini, sama-samalah kita bangkit dengan UMNO yang kita sayangi ini.

Parti berusia 72 tahun itu kini dihambat permasalahan dalam apabila satu demi satu Ahli Parlimennya bertindak keluar parti selepas menerima kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah sekaigus keluar dari parti itu.

UMNO yang mulanya memenangi 54 kerusi ini berbaki 43 kerusi sahaja sehingga kini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast