Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui UMNO kini melalui saat-saat getir.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya mengutamakan parti itu dalam membuat setiap keputusan dan tindakan.

Bekas Naib Presiden UMNO itu sekali lagi mengulangi pendirian agar semua ahli-ahli parti tersebut di setiap peringkat merapatkan barisan dan mengekalkan kesatuan sesama sendiri.

Hishammuddin dipercayai membuat kenyataan tersebut susulan tindakan enam Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti hari ini, selepas tindakan sama oleh kepimpinan UMNO Sabah pada 11 Disember lalu.

Mereka ialah Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Dua lagi ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Dalam pada itu, Hamzah juga mengakui seramai 33 Ahli Parlimen UMNO daripada 36 Ahli Parlimen Barisan Nasional sudah menandatangani surat akuan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette