Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini sekali lagi secara lantang menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Beliau berkata, walaupun hanya Perhimpunan Agung UMNO boleh melucutkan jawatannya, namun Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat.
“Lepaskan (jawatan Presiden UMNO) tuan,” katanya secara ringkas yang dalam ciapan terbarunya di laman media sosial Twitter, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam bahawa hanya Perhimpunan Agung UMNO boleh melucutkan jawatan Presiden UMNO secara rasmi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak untuk melepaskan jawatan nombor satu dalam UMNO.
Jumaat lalu, Khairy Jamaluddin menggesa UMNO mengadakan pemilihan parti secepat mungkin ketika seorang demi seorang pemimpin UMNO meninggalkan parti itu.

Ini susulan desakan pelbagai pihak dalaman UMNO yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.

Desakan itu bukan kali pertama bahkan sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pernah membuat gesaan sama.

Asyraf Wajdi menggesa Ahmad Zahid bercuti dan memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya membabitkan 46 pertuduhan. – MalaysiaGazette