Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2018
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Penyertaan ahli parti lain dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika mereka didapati melakukan kesalahan sebelum ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dasar itu terpakai untuk semua semua ahli PPBM, termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin parti pembangkang yang mengisytiharkan keluar parti.

Menururtnya, proses saringan dan penelitian akan dibuat secara terperinci dalam menimbang permohonan mereka.

“Bersatu tidak mempunyai halangan untuk menerima permohonan keahlian daripada bekas ahli mana-mana parti pembangkang dengan syarat mereka telah melepasi proses tapisan yang ditetapkan serta insaf dan sedar atas kesilapan mereka menyokong pemimpin kleptokrat sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, PPBM juga tidak terikat untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada mereka.

“Suka saya menegaskan bahawa Bersatu mempunyai dasar, peraturan dan mekanisme sendiri dalam mempertimbangkan kemasukan ahli-ahli baharu sepertimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti,” tambah beliau,

Sebagai sebuah parti yang demokratik, jelas Muhyiddin, PPBM bersedia menerima keahlian mana-mana individu selagi ia selari dengan dasar, peraturan dan mekanisme yang telah ditetapkan oleh parti.

Katanya, PPBM mengamalkan dasar terbuka dalam menerima mana-mana individu untuk menjadi ahli parti.

“Menurut Fasal 8 Perlembagaan Bersatu, mana-mana individu yang layak, iaitu warganegara berketurunan pribumi yang berumur 18 tahun ke atas, berhak memohon untuk menjadi ahli Bersatu.

“Setelah permohonan mereka diterima, Majlis Pimpinan Tertinggi berkuasa untuk menentukan status keahlian mereka berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang dibuat untuk tujuan memelihara kepentingan parti” katanya dalam kenyataan.

Menurut Muhyiddin, sekiranya terdapat sebab-sebab yang munasabah, permohonan menjadi ahli boleh ditolak oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Ini termasuk pembabitan dalam amalan rasuah, salahguna kuasa atau sabitan atas kesalahan jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast