Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO sekali lagi hari ini digesa memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bimbang dengan senario UMNO sekarang berkata, dalam situasi yang tidak menentu dan membimbangkan, akar umbi perlu diberi jaminan tentang langkah dan ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis yang melanda UMNO.

“Dalam situasi yang penuh tidak ketentuan & kebimbangan, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO untuk egera memanggil mesyuarat MT. Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat apakah langkah & ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis parti,” menurut bekas Naib Presiden UMNO itu.

Hishammuddin menegaskan barisan tertinggi UMNO tidak boleh berlengah lagi kerana akar umbi UMNO mengharapkannya.

Sebelum ini, Hishammuddin berkata, UMNO kini melalui saat-saat getir selepas seorang demi seorang Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyatnya meninggal parti itu bagi memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa 33 lagi Ahli Parlimen UMNO
sudah menandatangani surat akuan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan parti itu kini dilihat dalam keadaan meruncing.

Tindakan keluar parti oleh pemimpin-pemimpin UMNO juga telah meningkatkan desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya dan memberi peluang kepada muka-muka baharu.

Para pemerhati meramlkan keengganan Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatannya akan meningkatkan protes kepada parti itu oleh pemimpin dan ahli-ahlinya.

Namun, Ahmad Zahid dalam kenyataannya berkata, beliau enggan tunduk kepada desakan meletak jawatan segera dan mengulangi pendirian kerjasama antara UMNO-PAS.

Malah, Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam-Melayu, sama ada yang dilakukan secara halus atau terang-terangan.

Beliau turut mengulangi pendirian hanya patuh kepada Peraturan dan Perlembagaan UMNO, jika dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas menentukan beliau perlu berundur. – MalaysiaGazette