Shahrir Samad

JOHOR BAHRU – Pemimpin Umno, Shahrir Samad hari ini membidas tindakan beberapa bekas pemimpin kanan parti itu yang berterusan mendesak Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, sedangkan mereka sendiri bukan lagi anggota parti.

Ketua UMNO Johor Bahru itu berkata, sebagai bekas anggota UMNO, mereka tidak layak membuat desakan itu kerana Ahmad Zahid dipilih oleh parti.

“Kalau nak keluar, keluarlah… ini yang menderhaka boleh menuntut pula kononnya jika presiden tidak letak jawatan maka lebih ramai anggota akan keluar. Itu tidak betul tempatnya.

“Janganlah hendak mengalihkan perhatian dengan menuduh orang lain tidak patuh sedangkan yang tidak patuh ialah awak (mereka yang keluar parti),” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Johor Bahru, hari ini.

Bekas anggota Parlimen Johor Bahru itu mengulas dakwaan kononnya lebih ramai anggota Umno akan meninggalkan parti sekiranya Ahmad Zahid masih enggan berundur.

Mengulas lanjut, Shahrir juga berkata, beliau secara peribadi tidak faham mengapa Ahmad Zahid terus didesak meletak jawatan sedangkan Presiden Umno itu patuh terhadap kehendak pemimpin peringkat akar umbi.

“Kalau saya perhatikan, dari awal dahulu sewaktu Ahmad Zahid menjadi pemangku Presiden, beliau pernah menyarankan parti agar melakukan amalgamansi (penggabungan) dengan parti-parti lain sebagai hala tuju baharu di masa depan tetapi Umno telah menolaknya.

“Selain itu, Pemuda UMNO juga pernah menyuarakan agar jangan Umno menyertai kerajaan melalui pintu belakang dan terus menjadi pembangkang berwibawa dan saranan dan pendapat itu dipatuhi Ahmad Zahid.

“Jadi, bukanlah Ahmad Zahid yang menolak keputusan dan pendirian Umno tetapi mereka yang melompat (parti) inilah yang sebenarnya bergerak ke arah amalgamasi ataupun masuk kerajaan mengikut pintu belakang. Mereka inilah yang melanggar dan mengetepikan saranan dan pandangan pemimpin-pemimpin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast