Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar bukan mengundurkan diri dari politik, sebaliknya beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanah air, kata bekas calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, apa yang dilakukan Nurul Izzah itu adalah tindakan berprinsip bagi membolehkan beliau kekal bersuara secara objektif membawa isu rakyat, selari dengan idealisme reformasi.

“Saya menerima panggilan yang tidak putus-putus dari kalangan pendokong PKR, wartawan dan orang ramai mengenai berita peletakan jawatan Nurul Izzah dari jawatan kepimpinan.

“Nurul Izzah ada berkongsi pandangan dengan saya secara berterusan, terutama bersabit komitmen reformasi kepada rakyat. Beliau sangat komited dengan idealisme reformasi dan sudah tentu ada beberapa perkembangan yang perlu diperhalusi dari semasa ke semasa.

“Beliau bukan mengundurkan diri dari politik. Beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanah air. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hari ini, Nurul Izzah membuat kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti dan kerajaan, tetapi kekal sebagai ahli biasa PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menurut Rafizi yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, beliau mengambil sudut positif dan mempertimbangkan semula keputusan itu.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau menghormati keputusan itu dan mereka sebelum ini sama-sama berjuang membina parti PKR sejak kali pertama duduk sepentas dari tahun 1999.

“Saya juga faham pandangan beliau. Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat olehnya kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan.

“Saya juga berharap anggota PKR menerima keputusan itu dengan memberi sepenuh galakan dan sokongan. Ia juga menjadi bukti bahawa idealisme reformasi tetap segar dalam parti,” katanya.

Kata Rafizi, jawatan kanan dalam parti hanyalah satu jalan untuk menyumbang dan Nurul Izzah telah dan akan buktikan bahawa idealisme perjuangan itu lebih penting dari jawatan, pangkat atau kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast