Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada Majlis Dialog Perundingan Kumpulan Kerajaan Industri Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di MIGHT Partnership, Jalan Impact, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 DISEMBER 2018

CYBERJAYA- Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum menerima permohonan bekas ahli-ahli UMNO yang mahu menyertai parti berkenaan, kata Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kami tidak terima semua orang kalau sesuai sahaja baharu kami akan terima.

“Kami akan mengkaji dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka dan kami perlu tengok mereka semasa menjadi ahli bebas dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi konsultasi industri berteknologi tinggi di MIGHT di sini hari ini.

Beberapa hari lalu 10 Ahli Parlimen dan ketua bahagian UMNO Sabah meninggalkan parti tersebut untuk menyertai PPBM dan diikuti oleh bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Shamsuddin turut melakukan perkara yang sama.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PPBM dan telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang daripada ahli-ahli Pakatan Harapan dan netizen.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan, PPBM tidak berhasrat untuk membuka cawangan di Sabah.

“PPPBM tidak akan membuka cawangan di Sabah.¬†Orang Sabah boleh pilih parti mereka sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette