KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai langkah awal, Peguam Negara, Tommy Thomas didesak mengambil tindakan tegas terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau dan empat menteri lain.
“Ini termasuk Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jaykumar.
“Mereka ini perlu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bertarung selama tiga minggu.
Allahyarham cedera parah akibat dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Asyraf Wajdi juga menyalahkan lima pemimpin India tersebut kerana membangkitkan kemarahan komuniti India di Seafield hingga tercetusnya rusuhan kali kedua.
“Ia diakibatkan daripada status Facebook dimuat naik pada siang 27 November oleh Exco Selangor itu dengan mendakwa serangan ke atas kuil dilakukan oleh orang Islam.
“Keadaan bertambah tegang dengan kenyataan bertulis empat orang Menteri India diketuai Waytha menyalahkan Polis DiRaja Malaysia didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama.
“Tindakan itu telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota Bomba yang tidak berdosa,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, siasatan dan pendakwaan perlu dilakukan secara telus, adil dan tidak pilih kasih.
“Keadilan mesti dilihat ditegakkan lantaran melibatkan nyawa seorang penjawat awam yang tidak berdosa.
“Bukan sahaja keadilan perlu dilakukan bahkan ia juga mesti dilihat adil,” katanya.
Beliau turut mengulangi desakan agar Waytha meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana bukan sahaja ternyata gagal menjernihkan ketegangan kaum yang tercetus, sebaliknya turut menyalakan api kemarahan kaum India.
“Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan.
“Pemuda UMNO meminta orang ramai agar sentiasa bertenang dan mengelak daripada mencetuskan apa jua bentuk sentimen perkauman mahupun agama daripada tragedi ini yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette