KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Setiawangsa hari ini membuat satu laporan polis terhadap seorang wanita dan beberapa individu lain berhubung kenyataan di laman media sosial Facebook yang boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Naib Ketuanya, Fadzmel Fadzil berkata, ia tidak wajar dilakukan kerana menyentuh sensitiviti kaum dan agama malah dilihat mampu menimbulkan kemarahan khususnya orang Islam.
“Tindakan hari ini bukan langkah mencetus ketegangan kaum namun ia hanya untuk memastikan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa atau agama tidak boleh sesekali mengeluarkan kenyataan provokatif seperti ini.
“Ini kerana ia hanya akan menjurus kepada kemudaratan perpaduan yang kita telah nikmati selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam Honda Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia, pada Isnin.
Honda Malaysia juga memohon maaf di atas tindakan biadab salah seorang kakitangannya kerana mengeluarkan kenyataan biadab terhadap wira bomba itu dengan menyalahkan tuhan kerana gagal menyelamatkannya.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam pada Isnin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bertarung selama tiga minggu.

Allahyarham cedera parah akibat dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Fadzmel juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit walaupun ada di antara mereka telah dikenakan tindakan penggantungan kerja oleh majikannya.
“Dengan langkah ini juga kami berharap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin lakukan perkara sama di masa akan datang,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai digesa melaporkan sebarang tindakan seumpama itu kepada pihak polis bagi menggelakkan perkara sama berulang.
“Kami, seperti majoriti rakyat cintakan Malaysia yang aman dan negara makmur lahir dari kesepaduan hubungan antara kaum serta agama.
“Jangan hanya dengan provokasi sebegini ia akhirnya mencetus ketegangan sesama kita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast