KUALA LUMPUR – Felda menerima cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung usaha mengukuhkan tadbir urus dan standard pengurusan agensi itu.
Cadangan itu diterima pengurusan Felda ketika kunjungan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil ke pejabat agensi itu Selasa lalu.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Felda, SPRM membuat kunjungan ke agensi itu susulan daripada hasil semakan suruhanjaya terhadap terhadap Projek Caviartive.
Katanya, cadangan itu telah diterima dan ditandatangani Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar dengan Shamsun Baharin sambil disaksikan Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.
Jelas kenyataan itu lagi, kebanyakan cadangan khususnya berkenaan polisi, prosedur pelaburan dan pengurusan risiko yang diambil tindakan setelah pelantikan Lembaga Pengarah Felda yang baharu sejak akhir Julai lalu.
“Sebelum itu, Felda juga telah menubuhkan Unit Integriti,” katanya.
Felda sangat menghargai hasil dapatan SPRM yang terperinci, yang dapat meningkatkan profesionalisme dan standard integiriti yang lebih baik dalam organisasi. – MalaysiaGazette