Razali Zakaria
Razali Zakaria

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara Malaysia (GMPN) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan segera.

Presidennya, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, menteri yang memegang portfolio perpaduan itu gagal menyelesaikan isu rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman Seafields dekat Subang Jaya yang menyebabkan kematian seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim perlu mendapat pembelaan dan tindakan segera, manakala pembunuhnya dikenakan hukuman setimpal.

“Kami menggesa menteri perpaduan P. Waytha meletakkan jawatan segera kerana gagal menyelesaikan isu ini demi perpaduan rakyat.

“Sehingga ini ia menjadi tanda tanya dan membiarkan rakyat membuat keputusan serta andaian sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Menurut Razali, pihaknya akan membuat laporan berhubung kejadian itu dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Ujarnya, pihaknya telah membaca dan membuat semakan terhadap isu dan rentetan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga mengakibatkan kematian seorang penjawat awam yang menjalankan tugas.

Kata beliau, kematian anggota bomba itu boleh menyebabkan berlaku ketegangan kaum dan tindak balas rusuhan akibat tidak berpuas hati serta dendam oleh pihak tertentu.

“Ini juga akan menanam sifat kebencian dengan andaian tertentu oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan dari kejadian ini.

“Di samping fitnah jahat terancang untuk memburuk dan mencemarkan nama baik kerajaan serta niat menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast