KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak terus mempertahankan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan wang melebihi RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan.

Buktinya terkandung dalam Penyata Aset dan Liabiliti Bank Negara Malaysia bertarikh 7 Disember 2018.

Berdasarkan penyata berkenaan, jumlah deposit oleh Kerajaan Persekutuan setakat akhir Disember 2017 ialah RM7,479,155,855 dan meningkat kepada RM10,050,993,720 pada April 2018.

“Jumlah wang tunai ini naik dari RM7 bilion pada akhir bulan Disember 2017 kepada RM10 bilion pada akhir bulan April 2018 ( https://bit.ly/2rHUqXs ) – bermakna wang tunai untuk akhir bulan April 2018 bukan hanya RM450 juta sahaja.

“Kita bernasib baik kerana data-data ini masih dilaporkan oleh BNM dalam laman rasmi mereka. Jika tidak, kita semua juga ditipu lagi,: kata Najib dalam kenyataan di sini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jumlah Akaun Hasil Disatukan juga termasuk wang tunai yang diletak dalam bentuk simpanan tetap jangka pendek dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan wang itu boleh dikeluarkan serta-merta untuk kegunaan kerajaan pada bila-bila masa.

Menurutnya, amalan menyimpan duit berlebihan dalam akaun simpanan kerana kerajaan boleh menerima faedah.

Najib berkata, syarikat-syarikat juga menyimpan duit dari akaun semasa di dalam simpanan tetap jangka pendek dan di dalam Repurchase agreement (atau sering digelar REPO) dengan bank yang merupakan pelaburan jangka pendek yang memberi faedah.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, beliau telah menjawab pembohongan Lim Guan Eng ini beberapa bulan dahulu tetapi Menteri Kewangan itu tidak menjawab.

“Saya jangka dia akan terus tidak menjawab tentang kewujudan baki simpanan tetap jangka pendek kerajaan dengan BNM ini dan akan mengulangi pembohongan ini.

“Kalau manifesto PRU14 yang ditulis secara hitam putih masih mereka boleh terus berbohong dan berdolak dalik, apa lagi yang PH tidak mampu menipu?,” ujar Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast