Rina
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Harun diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Sivarasa Rasiah beramah mesra bersama kanak-kanak warga KPLB pada Majlis Interaksi Bersama Warga KPLB di Kementerian Luar Bandar, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Jumlah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Transit Kemas akan ditingkatkan sehingga 60 buah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pertambahan itu telah dirangka dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar sehingga tahun 2023.

Beliau memberitahu, kerajaan kekal komited dalam membantu meringankan beban ibu bapa yang bekerja kerana hanya mengenakan bayara berpatutan berbanding pusat swasta.

“Sebanyak 27 projek rintis Tabika Transit Kemas telah dimulakan pada Januari lalu di seluruh negara dan pelaksanaannya dilihat telah mendapat maklum balas positif ibu bapa.

“Kementerian menyasarkan dapat menambah jumlah Tabika Transit Kemas ini sehingga 60 buah dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kecemerlangan dan Bantuan Persekolahan Anak-Anak Warga Kementerian Pembangunan Luar Bandar di kementeriannya di sini hari ini.

Operasi Tabika Transit Kemas bermula dari pukul 1 petang hingga 5.30 petang yang diuruskan oleh Jawatankuasa Aktiviti Tabika dengan kawalan dan pemantauan oleh pihak Kemas.

Inisiatif ini tertumpu kepada usaha penyediaan transit kepada kanak-kanak yang belajar di Tabika Kemas selepas tamat sesi persekolahan sekali gus memberi kemudahan kepada ibu bapa menempatkan anak-anak mereka sepanjang mereka berada di pejabat.

Sehingga Mac 2018, sebanyak 18 buah kelas transit diwujudkan di kawasan bandar, enam buah di pinggir bandar dan tiga buah di luar bandar dengan jumlah keseluruhan kanak-kanak terlibat adalah seramai 327 orang. – MalaysiaGazette