Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang  ‘panik’ terhadap penyertaan beramai-ramai wakil rakyat daripada UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipertikaikan oleh Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Dalam masa yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mempersoalkan adakah kebimbangan yang disuarakan terhadap perkembangan semasa ini adalah kerana hilangnya kepercayaan terhadap antara satu sama lain dalam gabungan itu.

“Mengapa panik? Bukankah keterbukaan menerimanya adalah tertakluk kepada idea gagasan dan politk baru? Atau apakah kita hilang kepercayaan kepada rakan komponen kita? Mungkin kita tidak jelas apakah penghijrahan ini memperkukuhkan parti komponen atau PH?,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Perkara yang penting tambah Mujahid yang perlu difikirkan adalah manfaat yang boleh dibawa menerusi kemasukan wakil rakyat dari UMNO ke dalam rakan komponen gabungan itu khususnya dari aspek memperkukuhkan idea Malaysia Baharu.

“Sepatutnya kita bertanya apakah banjiran ini memperkukuhkan idea Malaysia Baru atau tidak?

“Malaysia Baru adalah lebih besar dari parti komponen mahupun PH sendiri. Malaysia Baru perlu dipertahankan dengan desakan idea baru dan gagasan baru.

“Kita tidak mampu menyekat mana-mana komponen parti berkembang tetapi kita ada segala hak untuk meletakkan gagasan Malaysia Baru sebagai penentu kepada mana-mana elemen baru yang masuk pasca PRU,” katanya lagi.

Pembentukan Malaysia Baharu yang lebih terbuka kini kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu lagi adalah lebih penting daripada kepentingan kepartian mahupun diri sendiri.

Justeru ujar beliau, setiap parti dalam PH perlu elakkan diri daripada pertelingkahan di antara satu sama lain, yang merupakan motif utama individu yang menentang pembentukan Malaysia baharu di bawah gabungan itu.

“Malaysia Baru lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri. Ini termasuk perasaan kita kepada dinamika disekeliling dengan lanskap baru. Kita terpaksa ‘telan’ semua perasaan dengan matlamat yang jelas untuk mempertahankan ide Malaysia Baru.

“Jauhi sama sekali perbalahan dalaman dalam membawa ide dan gagasan Malaysia Baru. Jauhi juga kehendak penentang Malaysia Baru yang mahukan pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka,” tambah beliau.

Untuk rekod PPBM adalah satu-satu partinya yang menjadi tumpuan utama bekas wakil rakyat UMNO yang telah meninggalkan parti itu selepas menjadi pembangkang.

Antara UMNO Sabah, UMNO Langkawi baru-baru ini umum meninggalkan parti itu kerana mendakwa tiada hala tuju yang jelas selepas pilihan raya umum Mei yang lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast