KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia diseru supaya menunjukkan rasa hormat, persefahaman dan perasaan sayang di antara satu sama lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah namun setiap rakyat perlu memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang positif berbanding negatif.
“Islam mengajar kita supaya bertoleransi di antara satu sama lain.
“Dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9, Allah ta’ala menganjur umat Islam supaya berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuhan dengan umat Islam.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat beruntung.
“Sempena sambutan Hari Krismas ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan keamanan dan ikatan persahabatan yang sedia ada di kalangan kita yang berbagai kaum dan agama,” katanya di dalam perutusan khas sempena Hari Krismas yang bakal disambut esok.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga memohon supaya semua rakyat Malaysia mengambil berat golongan miskin, uzur, terpinggir serta gelandangan.
“Anggaplah perutusan ini sebagai kad Hari Krismas peribadi saya kepada setiap rakyat yang menyambut Hari Krismas tahun ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette