Maahad Darul Anuar yang diasaskan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz kini diletakkan bawah seliaan YIK.
Maahad Darul Anuar yang diasaskan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz kini diletakkan bawah seliaan YIK.

KUALA LUMPUR – Isu perebutan pengurusan sekolah swasta, Maahad Darul Anuar (MADA) Pulau Melaka, dekat Kota Bharu berakhir dengan penyelesaian yang baik.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika mengesahkan perkara itu berkata, Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad berkenaan, Nik Omar Nik Abdul Aziz telah menyerahkan secara rasmi pengurusan sekolah itu kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Alhamdulillah, kemelut selesai dengan baik. Semoga semua diberkati Allah. Selamat maju jaya Maahad Darul Anuar,” katanya menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini kecoh kejadian pencerobohan MADA oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan bangunan dan pejabat pentadbiran sekolah itu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jam 6 pagi itu, terdapat suspek memecah pintu sekolah dan masuk ruang pejabat menggeledah peralatan milik Darul Anuar.

Nik Omar yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, kejadian itu amat mendukacitakan kerana ia jelas satu jenayah serius terhadap kepentingan hartanah dan sekolah tersebut.

Kemelut itu dipercayai perebutan ahli keluarga berhubung pengurusan pentadbiran maahad berkenaan.

Kata Nik Omar, ayah mereka Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan amanat atau status bahawa Darul Anuar telah diamanahkan untuk dikendalikan oleh pihak Lembaga Pengarah.

Menurut beliau, tidak pernah dalam apa juga keadaan atau kenyataan atau bukti bertulis Darul Anuar diserahkan kepada mana-mana pihak selain Lembaga Pengarah yang telah dan sedang menjalankan semua tadbir urus Darul Anuar sejak sekian lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast