WASHINGTON – Seorang lagi kanak-kanak lelaki pelarian Guatemala berusia lapan tahun meninggal dunia dalam tahanan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), semalam.

Agensi berita melaporkan, ini merupakan insiden kedua selepas seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia awal bulan ini, menimbulkan sedikit ketegangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia.

Menurut kenyataan CBP, kanak-kanak itu dan bapanya ditahan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Gerald Champion Regional di Alamogordo, New Mexico Isnin lepas namun mendakwa keadaan kesihatan kanak-kanak terbabit agak tenat.

Mangsa dipercayai mengalami demam dan selsema biasa dan dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan namun pada sebelah malamnya mula muntah-muntah.

Apabila keadaan mangsa semakin membimbangkang beliau sekali lagi dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan, ketika ini punca sebenar belum diketahui dan masih dalam siasatan.

Menurut Kementerian Luar Guatemala, mangsa dan bapanya masuk ke Amerika Syarikat (AS) menerusi El Paso, Texas pada 18 Disember lalu dan dipindahkan ke stesen pengawal sempadan di Alamogordo pada 23 Disember.

Sebelum ini,  kematian seorang kanak-kanak perempuan warga Guatemala minggu lalu memberi tekanan baru terhadap usaha pentadbiran Presiden Donald Trump, untuk menyekat kemasukan pendatang dari tengah benua Amerika.

Berita kematian itu menggemparkan pelbagai pihak, kerana kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meninggal dunia ketika berada dalam tahanan agensi kawalan sempadan AS.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia pada 8 Disember lalu di sebuah hospital di El Paso, Texas, kurang 24 jam selepas ditahan bersama 163 pendatang tanpa izin ketika menyeberangi sempadan di New Mexico. – MalaysiaGazette