Ahmad Dusuki Abd Rani foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018
Ahmad Dusuki Abd Rani foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Setelah dikecam hebat oleh netizen mengenai status kematian ahli kumpulan Seventeen yang dikaitkan dengan maksiat, penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani hari ini bangkit mempertahankan kenyataannya.

Menurut beliau, aktiviti maksiat tidak membawa rahmat kepada manusia namun membawa keazaban kepada masyarakat.

“Mengapa menggelupur? kepanasan dari kemaksiatan? berilah peringatan walau kepahitan.

“Moga Allah menyelamatkan kita dari azab pelaku maksiat!!!,” katanya menjawab kritikan daripada pengguna media sosial ekoran status yang dibuatnya semalam.

Dalam satu status di aplikasi Instagram semalam, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor itu didapati berkata, sesiapa sahaja tidak akan lari daripada kematian dan ia boleh datang secara tiba-tiba dan tanpa diduga.

Justeru beliau menasihatkan agar umat Islam menjauhkan maksiat kerana perbuatan itu mendatangkan azab daripada Allah.

“Bayangkan kematian menyentap saat sedang begini? Inilah yang terjadi kepada kumpulan band muzik yang sedang membuat persembahan pada malam tsunami menyentap!!..

“Angka kematian bencana tsunami di pantai selat sunda (di antara kepulauan sumatera dan jawa) hgga kini meningkat kpd 150 org serta mencederakan 600 orang.

“Usahlah melakukan maksiat!!! kerana maksiat itu menarik azab,” katanya di Instagram.

Tsunami Selat Sunda pada 22 Disember lalu kini telah meragut 429 nyawa, sementara seramai 150 orang dilaporkan masih hilang dalam bencana itu dan 16,000 orang telah dipindahkan. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/25/netizen-kecam-ahmad-dusuki/