KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Pasar Harian Selayang yang dibantah pelbagai pihak sejak Mac 2017 didakwa didalangi oleh sekumpulan operator haram yang memonopoli industri itu sejak tiga dekad lalu.
Sekretariat Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Jefri Mohd Meidin menegaskan, bantahan itu didakwa dilakukan mereka semata-mata untuk menyelamatkan kilang penyembelihan ayam haram.
“Ada lebih kurang 23 operator haram di sekitar tiga kilometer radius di kawasan projek ini termasuk Selangor dan Kuala Lumpur malah ia akan memberi kesan kepada mereka.
“Di Kuala Lumpur sahaja ada 37 operator haram dan hanya 12 operator sahaja yang ada lesen (patuh syariah),” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Ahmad Jefri mengulas kenyataan Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam baru-baru ini yang mendesak Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad agar tidak melindungi pemaju projek terbabit.
Jawatankuasa itu yang dianggotai oleh 62 pertubuhan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan persatuan penduduk mendakwa DBKL tidak pernah mengadakan rundingan atau perjumpaan sebelum meluluskan projek tersebut.
Pada awal tahun 2015, DBKL telah melantik sebuah syarikat milik bumiputera sebagai pemaju projek itu di atas nama kerajaan yang telah digazetkan pada tahun 2014 khas untuk pakir kenderaan awam.
Ahmad Jefri juga berkata, cadangan itu telah diketengahkan oleh Halal Development Corporation (HDC) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak lapan tahun lalu perlu dialu-alukan dalam menangani bekalan ayam di pasaran yang diragui status halal dan kebersihannya.
“Fasiliti ini dapat menampung keperluan ayam hidup yang perlu disembelih mengikut syarak dan kemudian bekalan akan sampai ke pasaran dengan satu jaminan yang sahih dan halal.
“Segala produk ayam di Kuala Lumpur boleh dikatakan kronik dan kritikal yang memerlukan satu penyelesaian holistik di mana ia menjurus kepada jaminan kepada pengguna-pengguna warga kota.
“Pentingnya projek ini dilaksanakan bukan satu tempat tapi di seluruh negara untuk memberi jaminan bekalan ayam di sesuatu tempat itu terutamanya pengguna Islam yang menitikberatkan soal halal dan terjamin baik,” katanya.
Katanya lagi, pembangunan pusat penyembelihan ayam bersepadu itu tidak sewajarnya dibantah malah ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah termasuk pencemaran air dan udara khususnya di sekitar Pasar Harian Selayang.
“Kita maklum kawasan itu kini dari segi kebersihan, kesihatan dan pencemaran yang berlaku hari ini lebih kronik berbanding dengan pembangunan yang bakal kita jayakan akan datang.
“Segala permasalahan yang timbul di kawasan itu setelah sekian lama, saya boleh kata hampir 30 tahun selesai dengan pembangunan yang bakal dibawa ke kawasan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette