Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Ketidaksepakatan dalam beberapa siri kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan menunjukkan tanda-tanda berlakunya perang dalam gabungan tersebut.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendakwa gambar-gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan percutian di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah antara bukti bermulanya tindakan serang-menyerang di antara satu sama lain dalam parti itu secara tidak langsung.

“Adakah perang sudah bermula ?

“Semua imej saya ambil dari yang berkeliaran di media sosial.

“Banyak lagi yang lebih bersifat serangan peribadi juga turut wujud tersebar….,” katanya meneusi hantaran di Facebook.

KeratanSelain itu Badrul memuat naik teguran secara tidak langsung yang dibuat oleh bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh secara sewenangnya menerima wakil rakyat daripada UMNO untuk menyertai parti itu.

Peletakkan jawatan Nurul Izzah dalam PKR sebelum ini dikatakan akibat ketidakpuasan hatinya terhadap perkembangan lompat parti itu dan menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan rakyat kepada gabungan itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Salahuddin Ayub juga sebelum ini pernah berkata bahawa gabungan itu bukan parti pelarian politik.

Beliau turut mengaitkan perang dalam Pakatan Harapan (PH) dengan dakwaan disuarakan Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa wujud perancangan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Untuk rekod, salah seorang pemimpin PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid juga pernah menamakan ketua penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin sebagai antara individu yang berusaha menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri seperti dipersetujui dalam perjanjian bersama-sama gabungan itu sebelum pilihan raya umum Mei lepas .- MalaysiaGazette