Menteri Pembangunan Luar Bandar Yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seti Rina Mohd Harun (tiga kanan) menggunting rambut seorang murid, Syefa Qadira Efandy (dua kanan) sempena Program ‘Segak Ke Sekolah’ Jom Gunting Rambut Percuma di PPR Jelatek, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 peratus pelajar daripada golongan B40 berjaya memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada tahun depan.

Manakala 20 peratus adalah dari keluarga yang berpendapatan M40 dan selebihnya T20, demikian menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Saya hendak maklumkan untuk keputusan MRSM untuk tahun 2019, sebanyak 70 peratus adalah daripada golongan B40, 20,M40 dan 10 peratus T20.

“Kita sudah keluarkan keputusan pada 21 Disember 2018 lebih awal daripada biasa kerana ingin membantu ibu bapa dalam membuat persiapan terutama untuk sesi persekolahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas Rina, selain mengutamakan jumlah pendapatan sebagai penilaian kemasukan pelajar, keputusan akademik pelajar juga tidak diketepikan.

Bagaimanapun ujarnya bagi pelajar dari luar bandar seperti Sabah dan Sarawak kerajaan memberi keistimewaan untuk menempatkan mereka di MRSM agar dapat menyambung pelajaran dengan baik.

“Kita pertamanya melihat keputusan peperiksaan kita sepadankan dengan pendapatan keluarga itu yang diberi keutamaan tapi untuk di luar bandar di Sabah dan Sarawak kita memikirkan bahawa mereka ini sekiranya mereka ada tempat belajar yang lebih baik maka mereka akan jadi pelajar yang lebih cemerlang yang itu,” tambahnya.

Rina turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menubuhkan MRSM berbayar untuk golongan elite seperti cadangan sesetengah pihak sebelum ini.

“Kita tidak bersetuju cadangan tersebut kerana tujuan MRSM membantu masyarakat luar bandar terutamanya kita tidak mahu wujudkan perbezaan antara MRSM tidak berbayar dan berbayar,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Rina berkata, kerajaan akan memastikan hanya pelajar dalam kalangan pendapatan isi rumah B40 dan ke bawah diberi keutamaan untuk memasuki MRSM bermula tahun 2019.

Katanya, ini kerana pihaknya tidak mahu MRSM dimonopoli oleh golongan elit.

Setakat ini, Rina memaklumkan sebanyak 10 MRSM di seluruh negeri berada dalam proses pembinaan.

Terdahulu, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa ditemui di Program ‘Segak Ke Sekolah Jom Gunting Rambut Percuma di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek.-MalaysiaGazette