Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tidak ada perubahan ketara dalam tahap kepuasan orang ramai terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin politik dan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang memerintah sejak Ogos lepas.

Ini hasil tinjauan yang dilakukan di seluruh negara pada Disember oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dan pembantunya Azrul Hisyam Wakichan dari Unit Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tinjauan ini adalah kesinambungan daripada tinjauan pertama yang dijalankan pada Ogos 2018 mengenai Isu-isu Semasa Nasional.

Tinjauan pada Disember juga mendapati tahap kepuasan terhadap pemimpin lain iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat atau turun sebanyak satu peratus atau kekal pada tahap sama seperti pada Ogos 2018.

Bagaimanapun, hanya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan mencatatkan peningkatan tahap kepuasan orang ramai daripada 36 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh yang sama.

Apabila responden ditanya parti mana yang akan mereka undi jika pilihan raya diadakan hari ini, 55 peratus memilih Pakatan Harapan (termasuk Warisan), Barisan Nasional (24 peratus) dan PAS (16 peratus).

Dalam tinjauan awal pada Ogos, 56 peratus menyatakan bahawa mereka lebih suka memilih untuk mengundi PH, berbanding BN (24 peratus) dan PAS (14 peratus).

Seperti tinjauan terdahulu, sokongan paling tinggi untuk PH ialah daripada masyarakat Cina (73%) diikuti kaum India (56%). Sebanyak 42 peratus masyarakat Melayu dan Bumiputera memilih PH, peratusan yang sama seperti pada Ogos.

Dr Mahathir masih mendapat sokongan daripada sebilangan besar rakyat tanpa mengira kaum, pendapatan, pendidikan dan jantina, dengan 62 peratus daripada responden menyatakan kepuasan mereka kepada beliau pada Ogos dan Disember.

Tinjauan pada Disember melibatkan 1469 responden manakala tinjauan pada Ogos melibatkan 1,500 responden.

Responden di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak secara peribadi ditemu bual dan dipilih berdasarkan kepadatan populasi, komposisi kaum, latar belakang pendidikan yang berbeza, umur dan jantina. – MalaysiaGazette