PUTRAJAYA – Enam bantuan telah disalurkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim selepas kematian anggota bomba itu pada 17 Disember lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata, selain kenaikan pangkat dari Gred KB17 kepada KB22, pihaknya turut menyampaikan bantuan dalam bentuk Skim Insuran Berkelompok KBPM, bantuan dari Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM), dan bantuan dari Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM).
Katanya, Persatuan Kebajikan JBPM dan Pertubuhan Khairat Kematian (Negeri) turut menyalurkan bantuan masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM298,755.
“Jumlah ini tidak termasuk daripada tabung yang dibuka sejak Allahyarham Muhammad Adib menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan sumbangan pelbagai pihak termasuk kerabat diraja,” katanya pada sidang media Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin selepas Majlis Penghargaan Wira Merah di ibu pejabat JBPM di sini, hari ini.
Menurut Mohammad Hamdan, Allahyarham Muhammad Adib turut menerima bayaran pampasan dari Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) berjumlah RM81,756.
Katanya, bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam pula, keluarga Allahyarham Muhammad Adib menerima bantuan mengurus jenazah sebanyak RM3,000, Pencen Terbitan berdasarkan gaji terbaharu gred KB22 dan Ganjaran Terbitan yang dibayar sekaligus kepada wakil. – MalaysiaGazette
















