KUALA LUMPUR – Dua sayap PKR mendesak presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Jumaat lalu.
Dalam kenyataan bersama antara Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan, mereka mahu pelantikan itu dibuat berpandukan asas demokrasi yang telus, adil dan selaras dengan hasrat akar umbi parti.
Menurut Naik Ketua AMK Pusat, Mohd Nazree Mohd Yunus, pemilihan PKR yang baru berlalu bulan lepas adalah suatu referendum anggota yang jelas menyatakan aspirasi mereka mengenai corak kepimpinan dan masa depan parti yang ingin dilakar.
“Justeru, kami berpendirian bahawa pelantikan yang dibuat oleh Presiden wajar diteliti semula dan kembali berpandukan asas demokrasi yang telus, adil serta selaras dengan hasrat akar umbi Keadilan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Anwar mengkaji semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti itu.
Beliau dilaporkan berkata, pelantikan baharu itu tidak mencerminkan prinsip anggota perwakilan yang adil dan saksa, selain ia tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan.
Namun Anwar dalam kenyataan balas memberitahu, beliau tidak akan mengkaji semula keputusannya itu sebagaimana diminta oleh Mohamed Azmin.
Katanya, tidak ada keperluan baginya berbuat demikian oleh kerana nama berkenaan telah pun diluluskan oleh MPP PKR dan tambahan pula, beliau telah mengambil kedua-dua puak (Mohamed Azmin dan Rafizi Ramli).
Sementara itu, Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat, Sangeetha Jayakumar berkata, kemenangan rakyat dalam PRU14 menuntut PKR untuk menjamin sebuah kerajaan yang stabil hasil dari sebuah organisasi politik yang mantap, inklusif dan matang.
Jelas beliau, PKR memiliki tanggungjawab yang signifikan untuk menerajui Pakatan Harapan (PH) dan mereka harus insaf serta sedar bahawa suara anggota dan akar umbi adalah keutamaan demi memperkukuhkan parti.
“Saya menyeru kepada seluruh pimpinan dan anggota untuk terus mempertahankan prinsip dan idealisme perjuangan PKR demi keutuhan perpaduan dan muafakat anggota parti,” katanya.
MPP Pusat lantikan yang diumumkan Anwar ialah tiga Naib Presiden, Rafizi Ramli, Ali Biju (Sabah/Sarawak) dan Chang Lih Kang; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Bendahari Agung, Lee Chean Chung; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; dan Setiausaha Pengelila, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli MPP lantikan pula ialah Lee Khai Loon, Faisal Sanusi, Syed Ibrahim Syed Noh, Rayyan Abdul Rahim, Raymond Ahuar dan Kesavan Subramaniam.
Bagi jawatan Biro Politik yang lain ialah Pengarah Strategi, Datuk Mansor Othman; Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Dr R. Santhara Kumar; dan dua Timbalan Ketua Penerangan, Sim Tze Tzin dan Manivanan Gowin.
MPP juga turut dibarisi Tian Chua yang akan mengetuai Jawatankuasa Keanggotaan, manakala Dr Lee Boon Chye mengetuai Jawatankuasa Sistem Pemilihan Parti. – MalaysiaGazette
















