KUALA LUMPUR – Persatuan Anak-Anak Kelantan Gombak (Pakegom) menjadi medan penyatuan anak jati negeri itu yang berada di perantauan melalui pelbagai program yang diadakan bagi mengeratkan ukhwah serta kebajikan.
Sudah tiga tahun ditubuhkan, Pakegom telah melaksanakan pelbagai program berbentuk keagamaan, kebajikan, kesukanan untuk manfaat ahli dan masyarakat setempat.
Pengerusi Pakegom, Mohd. Rakbi Ab. Manaf berkata, penubuhan persatuan itu adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim anak-anak Kelantan yang berada di Selangor tanpa mengira fahaman politik.
“Pakegom ditubuhkan untuk mengumpulkan anak-anak Kelantan dalam satu komuniti, ia bukan saja dapat mengeratkan silaturahim, malah kita dapat bantu membantu antara satu sama lain.
“Bukan saja terhad kepada anak Kelantan, melalui persatuan ini juga dengan dana yang kita peroleh, Pakegom turut menyumbang kepada usaha mengimarahkan surau melalui program keagamaan.
“Malah, ada salah satu surau yang kami laksanakan pelbagai program keagamaan dinobatkan sebagai surau terbaik di negeri Selangor,” katanya selepas mesyuarat agung dwi tahunan persatuan itu di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Azhar Zainoddin.
Mesyuarat pada malam itu juga turut mengumumkan Datuk Abdun Nasir Muhammad sebagai penaung persatuan.
Sementara itu, Mohd Rakbi berkata, persatuan itu juga turut memberi tumpuan kepada usaha mengangkat dan memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat Kelantan.- MalaysiaGazette
















